Cari Artikel Muslimah-muslimah terkemuka di Blog Ini

Kamis, 13 Mei 2010

MARYAM WANITA TERPILIH [Q.S. Ali Imran : 42-44]


“Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu).(42) Hai Maryam, ta`atlah kepada Tuhanmu, sujud dan ruku`lah bersama orang-orang yang ruku`.(43) Yang demikian itu adalah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu (ya Muhammad); padahal kamu tidak hadir beserta mereka, ketika mereka melemparkan anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika mereka bersengketa.(44) [Q.S. Ali Imran : 42-44]

Telah diterangkan sebelum ini tentang keistimewaan yang diterima oleh isteri ‘Imran dan nabi Zakariya; selanjutnya akan diterangkan pula tentang keistimewaan yang diterima oleh Maryam; iaitu anak kepada ‘Imran.

Allah berfirman : “Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu)”.[Q.S. Ali Imran : 42]

Ayat ini menerangkan bahawa Allah telah memilih Maryam sebagai hamba-Nya dengan membekalkan keimanan yang kuat, kokoh dan sempurna. Tidak hanya dengan memberikan keimanan tetapi juga dengan menetapkan Maryam sebagai wanita yang suci yang tidak pernah melakukan perbuatan yang tercela.

Hati Maryam hanya dipenuhi dengan iman dan yakin, hidupnya pula dipenuhi dengan sholat dan zikir. Kemudian lebih daripada itu, Allah memilih Maryam sebagai penerima pemberian-pemberian istimewa yang membuat Maryam memiliki kelebihan apabila dibandingkan dengan sekalian wanita yang ada pada masa itu. Maryam-lah satu-satunya wanita paling mulia dihadapan Allah ketika itu.

Mengapa Allah memberitahukan perkara ini kepada Maryam? Apakah hikmah disebaliknya? Syekh Muhammad Mutawally Al-Sya’rawy menjelaskannya dalam tafsir beliau bahawa pemberitahuan itu bertujuan untuk menyiapkan diri Maryam sebagai seorang hamba yang akan menjalani perkara yang berat, tugas yang mencabar dan ujian yang besar.

Pemberitahuan itu juga sebagai pengetahuan bagi sekalian manusia bahawa Maryam adalah seorang hamba Allah yang istimewa. Melalui pemberitahuan itu diharapkan Maryam akan lebih menjaga diri dan manusia pula akan lebih menghormati Maryam.

Selanjutnya Allah berfirman kepada Maryam melalui perantaraan malaikat Jibril: ”Hai Maryam, ta`atlah kepada Tuhanmu, sujud dan ruku`lah bersama orang-orang yang ruku`”.[Q.S. Ali Imran: 43]. Ayat ini menerangkan bahawa Allah memerintahkan Maryam untuk melakukan keta’atan dengan kekhusyu’an dan kesungguhan, kerana kata ‘qunut’ yang terdapat didalam ayat tersebut mengandung makna ‘dengan penuh kesempurnaan’.

Kesempurnaan sesuatu keta’atan adalah dengan kekhusyu’an dan kesungguhan. Allah juga memerintahkan Maryam untuk bersujud sebagai tanda merendahkan diri serendah-rendahnya dihadapan Allah Yang Maha Tinggi; melihat diri sebagai makhluk yang kecil, lemah, hina dan tidak memiliki apa-apa.

Didalam ayat diatas Allah juga memerintahkan Maryam untuk ruku’ bersama dengan orang-orang yang ruku’, maksudnya meskipun Maryam memiliki kedudukan yang sangat tinggi namun Maryam mesti tetap bersama dengan orang-orang yang beriman, tetap dalam jema’ah dan tidak mengasingkan diri sendiri.

Ia juga membawa makna bahawa Maryam mesti mengikut sebagai makmum ketika bersama-sama sholat dengan kaum lelaki, kerana didalam ayat ini Allah menyebut ‘bersama orang-orang yang ruku’ dalam bentuk ramai lelaki (jama’ muzakkar salim) bukan dalam bentuk ramai perempuan (jama’ muannats salim), bererti ketika sholat bersama-sama lelaki maka Maryam tetap sebagai seorang makmum meskipun sudah mencapai kedudukan yang sangat tinggi sekali dalam beragama.

Ayat selanjutnya pula menerangkan bahawa kisah Maryam tersebut dan sebelumnya kisah nabi Zakariya adalah dua kisah yang disampaikan oleh Allah kepada nabi Muhammad sehingga baginda mengetahuinya meskipun baginda tidak pernah mendengarnya daripada sesiapapun jua.

Allah berfirman: “Yang demikian itu adalah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu (ya Muhammad); padahal kamu tidak hadir beserta mereka, ketika mereka melemparkan anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika mereka bersengketa”.[Q.S. Ali Imran :44]

Ayat ini menjelaskan bahawa nabi Muhammad adalah betul-betul seorang rasul yang diutus. Sebagai bukti kerasulannya maka baginda dapat menyampaikan kisah-kisah masa lalu yang tidak pernah baginda ketahui sebelumnya. Baginda menceritakannya melalui perantaraan wahyu yang disampaikan kepada baginda sebagai bukti seorang rasul yang diutus, bahkan penyampaian tersebut merangkumi perkara terperinci; iaitu bagaimana para pemimpin Bani Israel menyelesaikan masalah mereka ketika mereka bersengketa tentang siapa yang lebih patut memelihara Maryam.

Melalui firman-firman Allah maka Rasulullah menyampaikan bahawa penyelesaian sengketa tersebut adalah dengan cara pengundian melalui pelemparan anak panah (qolam) kedalam laut oleh masing-masing yang bersengketa; sesiapa yang anak panahnya terapung dan bergerak melawan arus maka ialah yang berhak memelihara Maryam.

Ditaqdirkan ketika itu bahawa anak panah nabi Zakariya yang tidak tenggelam dan bergerak terapung melawan arus. Pengundian dilakukan kerana itulah cara terbaik untuk mengelakkan persengketaan, kerana masing-masing mereka sangat berharap untuk memelihara Maryam. Melalui pengundian maka mereka meninggalkan kehendak masing-masing dan menyerahkan urusan penyelesaian tersebut kepada kehendak Allah.

Demikianlah terperincinya kisah yang disampaikan oleh Rasulullah sebagai bukti bahawa baginda adalah betul-betul seorang rasul yang menerima wahyu-wahyu daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala perbuatan yang telah berlalu. (dikutip dari Tafsir Al-Ma’rifah karangan Dr. Musthafa Umar)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar