Cari Artikel Muslimah-muslimah terkemuka di Blog Ini

Kamis, 13 Mei 2010

KELEBIHAN ISTRI IMRAN


“Maka tatkala isteri `Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.”
[Q.S. Ali Imran : 36]

Telah diterangkan sebelum ini bahawa Allah telah memilih keluarga ‘Imran sebagai keluarga yang mulia. Mereka adalah orang-orang yang sangat ta’at mengikuti ajaran agama seperti yang ditunjukkan oleh isteri ‘Imran sendiri ; iaitu dengan menazarkan anaknya sebagai yang akan berkhidmat sepenuh masa di Baitul Maqdis.

Selanjutnya Allah menerangkan lagi tentang kelebihan isteri ‘Imran ini dengan berfirman: “Maka tatkala isteri `Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk."[Q.S. Ali Imran : 36]

Ayat ini menerangkan bahawa isteri ‘Imran sangat sedih sekali. Sedih kerana harapan untuk mendapatkan anak lelaki tidak menjadi kenyataan. Yang lahir adalah anak perempuan. Bererti ia tidak dapat menunaikan nazarnya sebagai bukti kata’atan kepada Allah. Jadi ia sedih bukan kerana jantina anak yang dilahirkan itu tetapi kerana tidak dapat mendekatkan diri kepada Allah melalui nazar yang telah ditetapkan, kerana dalam tradisi mereka anak yang dinazarkan untuk berkhidmat di Baitul Maqdis hanyalah anak lelaki sahaja.

Daripada sini nampaklah kelebihan isteri ‘Imran, kerana seorang hamba yang sangat dekat kepada Allah sangat sedih sekali apabila tidak diberi kesempatan untuk melakukan ketaatan kepada Allah meskipun ia bukan disebabkan kerana kehendaknya; sama seperti seorang hamba miskin yang sangat sedih kerana tidak dapat memberi sedekah kepada orang-orang yang akan pergi berperang, padahal kemiskinan itu bukanlah daripada kehendaknya, Allah berfirman tentang mereka ini: ”Dan tiada (pula dosa) atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kendaraan, lalu kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kendaraan untuk membawamu", lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan”. [Q.S. At-Taubah : 92]

Jadi perkataan isteri ‘Imran; ”Ya Allah, sesungguh-nya aku melahirkan seorang anak perempuan”, adalah untuk mengungkapkan kesedihan kerana tidak dapat melakukan keta’atan. Ia merupakan akhlak mulia yang hanya dimiliki oleh hamba-hamba Allah yang sentiasa suka dan cinta kepada Allah. Daripada sini nampaklah kelebihan isteri ‘Imran dalam beribadah kepada Allah.

Ayat selanjutnya pula menerangkan bahawa Allah telah mentaqdirkan segala-galanya dengan ilmu-Nya Yang Maha Sempurna. Disebalik kelahiran anak perempuan itu pasti ada hikmah yang besar. Mungkin isteri ‘Imran tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui, Allah berfirman: ”dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu, dan anak laki-laki tidak seperti anak perempuan”.

Maksudnya, Allah lebih mengetahui tentang hikmah kelahiran anak perempuan itu, maka diharapkan istri ‘Imran tidak terlalu bersedih hati. Apa yang mesti dibuat adalah terus mengikuti dan mengagongkan kehendak-kehendak Allah, dan jangan sekali-kali mengukur sesuatu yang ditetapkan oleh Allah dengan kehendak diri sendiri.

Memanglah anak laki-laki tidak sama dengan anak perempuan ; anak laki-laki lebih kuat bekerja dan beribadah, lebih sesuai untuk menjaga dan memelihara rumah Allah berbanding dengan anak perempuan yang agak lemah dan kadangkala tidak berada dalam keadaan suci. Namun apabila Allah telah menetapkan anak yang dilahirkan oleh isteri ‘Imran itu anak perempuan bererti pertimbangannya bukanlah pertimbangan yang diatas itu, pertimbangannya bukan dilihat daripada sisi fizikal dan tabi’at tubuh badan, tetapi daripada sisi keimanan dan kesucian hati.

Dengan pemberitahuan Allah itu bahawa Dia lebih mengetahui apa yang dilahirkan oleh isteri ‘Imran itu bererti kini isteri ‘Imran mengetahui bahawa dihadapannya ada amanah besar yang mesti dijaga dan dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Ia pun tidak berlengah-lengah lagi, iapun memberi nama bagi anaknya dan memohon perlindungan Allah dalam membesarkannya; “Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk”.

Perkataan isteri ‘Imran seperti yang disebutkan didalam ayat ini menerangkan kelebihannya sebagai hamba Allah yang betul-betul beriman kepada Allah. Ini dapat dilihat daripada pemberian nama anak, beliau memilih ‘Maryam’ sebagai nama anaknya yang bermakna ‘Pelayan Tuhan’ (Khadimatur-Rabb). Beliau berharap mudah-mudahan anak yang dilahirkan itu menjadi anak yang sangat ta’at kepada Allah sehingga sentiasa beribadah kepada-Nya.

Kelebihan lain yang dapat dilihat daripada perkataan isteri ‘Imran adalah perhambaan diri kepada Allah Yang Maha Melindungi. Beliau mengetahui bahawa seorang hamba yang taat pasti akan diganggu dan diperdaya oleh syaitan; iaitu musuh utama manusia di sepanjang masa. Syaitan tidak memulakan gangguannya ketika manusia sudah dewasa, tetapi ia sudah memulakan gangguan semenjak anak itu dilahirkan oleh ibunya.

Sesungguhnya seseorang anak itu menangis ketika lahir adalah disebabkan kerana gangguan syaitan yang terkutuk. Rasulullah bersabda: ”Tidak ada seorangpun anak cucu Adam yang dilahirkan melainkan syaitan mengganggu-nya ketika anak itu lahir sehingga anak tersebut menangis disebabkan kerana gangguan syaitan itu kecuali Maryam dan anaknya”. [H.R. Bukhary]. Bererti kelebihan istri ‘Imran dapat dilihat daripada permohonannya yang diperkenankan oleh Allah sehingga anaknya (iaitu Maryam) dan anak kepada anaknya (iaitu nabi Isa) dilindungi oleh Allah daripada gangguan syaitan. Keduanya lahir dalam keadaan tidak menangis kerana dilindungi oleh Allah.

Pada ayat berikutnya akan diterangkan pula tentang nazar isteri ‘Imran yang diterima oleh Allah dan anak perempuannya itu pula (Maryam) dibesarkan dengan rezeki yang istimewa daripada sisi Allah. (dikutip dari Tafsir Al-Ma'rifah karangan Dr. Musthafa Umar)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar